Mahkamah Benar Tangguh Kes Rasuah Guan Eng

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini membenarkan penangguhan perbicaraan kes pertuduhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon.

Hakim, Datuk Hadhariah Syed Ismail berkata langkah tersebut dibuat bagi menunggu keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya berhubung permohonan defenden bagi mengisytiharkan Seksyen 62 Akta SPRM 2009 sebagai tidak berperlembagaan.

Berdasarkan akta itu, tertuduh perlu menyerahkan dokumen kepada pihak pendakwaan sebelum perbicaraan bermula.

Guan Eng dan Li Koon memohon supaya Seksyen 62 berkenaan diisytiharkan sebagai tidak berperlembagaan kerana bertentangan dengan prinsip “tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah”.

Guan Eng diwakili peguam Gobind Singh Deo, manakala Li Koon diwakili Datuk V Sithambaram.

Perbicaraan selama 34 hari itu sepatutnya bermula minggu hadapan pada 27 Mac.

Mahkamah kemudiannya memutuskan 25 April sebagai tarikh pengurusan kes.