Najib Desak Pyongyang Bebas Rakyat Malaysia

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak mendesak Pyongyang membenarkan kesemua rakyat Malaysia untuk kembali ke negara ini, susulan keputusan kerajaan Korea Utara menghalang mereka keluar dari negara tersebut.

Najib berkata keputusan kerajaan Korea Utara itu seharusnya dikutuk kerana jelas membelakangi undang-undang antarabangsa dan nilai diplomasi yang terjalin antara Malaysia dan republik itu selama ini.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya keputusan Korea Utara menghalang rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, Najib turut mengarahkan Ketua Polis Negara untuk menghalang kesemua rakyat Korea Utara yang berada di negara ini daripada meninggalkan Malaysia, sehinggalah kerajaan dapat memastikan keselamatan rakyat Malaysia di republik tersebut terjamin.

“Malaysia komited mengekalkan hubungan dengan semua negara namun keselamatan rakyat negara ini tetap menjadi keutamaan, dan kami tidak teragak-agak mengambil apa jua langkah diperlukan jika mereka diancam,” tegas beliau.

Kata Perdana Menteri, beliau akan memanggil mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi meneliti dan mencari solusi terhadap isu tersebut.

“Kami mengharapkan satu resolusi secepat mungkin. Saya menyeru pemimpin Korea Utara membebaskan rakyat Malaysia bagi mengelakkan perkara ini menjadi bertambah buruk,” katanya lagi.