Harga Bahan Api Domestik Dijangka Meningkat – Hamzah

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menjangkakan harga bahan api di negara ini mungkin akan meningkat jika Amerika Syarikat (AS) meneruskan serangan di Syria sehingga menyebabkan kesan kepada harganya di peringkat global.

Menteri KPDNKK, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata keadaan ini berikutan harga bahan runcit bahan api di negara ini bergantung sepenuhnya kepada harga pasaran dunia selepas kerajaan memutuskan mengapungkan harga petrol semenjak Disember 2014.

“Apabila kita mengumumkan harga bahan api, ia adalah sama dengan (turun dan naik) harga minyak pasaran dunia, bukan kita buat sesuka hati.

“Jika harga pasaran dunia meningkat, sudah tentulah harga minyak petrol dan diesel dalam negara kita juga akan meningkat,” katanya pada sidang media Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) 2016 dan Pelancaran Buku Kod Etika Dan Tatakelakuan Warga SKM di Kuala Lumpur, hari ini.

Kata beliau, serangan AS terhadap Syria ternyata memberi kesan langsung kepada pasaran domestik bahan api memandangkan semua syarikat penjual bahan api di negara ini menjual minyak petrol dan diesel berdasarkan harga pasaran dunia dan Mekanisme Penetapan Harga Minyak (APM).

“Jika harga bahan api pasaran dunia naik walaupun APM itu stabil, harganya (bahan api) akhirnya akan naik,” katanya.

Kenyataan Hamzah itu secara langsung mengesahkan kenyataan dikeluarkan Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Salahuddin Ayub yang menjangkakan harga bahan api akan meningkat sehingga RM2.50 seliter ekoran pergolakan yang berlaku di Timur Tengah.