Kerajaan Isytihar Cuti 24 April Pertabalan Agong

Kerajaan mengisytiharkan 24 April ini sebagai hari kelepasan am tambahan sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-15, Sultan Muhammad V.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam kenyataan khas memaklumkan bagi Sabah dan Sarawak, kerajaan negeri terbabit diminta mengambil tindakan mengikut peruntukan masing-masing.

Katanya istiadat pertabalan akan diadakan pada pagi Isnin, 24 April bertempat di Balairung Seri, Istana Negara.

Manakala pada sebelah malam diadakan Majlis Santapan Diraja di Dewan Santapan, Istana Negara.

Selain itu dua acara lain akan turut diadakan pada 20 April ini iaitu majlis bacaan yasin, doa selamat dan solat hajat bertempat di Masjid Putra, Putrajaya disusuli Pameran Raja Kita pada hari Selasa, 2 Mei di Muzium Diraja, Istana Negara lama.