Pendaki Tertua Negara Sambung Perjalanan ke Everest Base Camp

Pendaki tertua Malaysia, James Lee Chong Meng, 69, akan berlepas ke Lobuche, Nepal yang terletak 4,910 meter di atas paras laut, esok dalam misinya menawan Gunung Everest untuk kali kedua.

Lee dan anggota pasukannya yang kini berada di Dingboche akan ke Lobuche bagi meneruskan perjalanan ke Everest Base Camp.

“Cuaca agak baik dan kami dapat menikmati sinaran matahari. Saya boleh katakan kami semua berada dalam keadaan baik.

“Esok kami akan bergerak dari Dingboche ke Lobuche, satu laluan yang agak sukar,” katanya dalam rakaman audio yang dihantar ke BERNAMA.

Selepas Lobuche, Lee dijangka meneruskan perjalanan ke Gorakshep (5,164m) pada 11 April sebelum sampai ke Everest Base Camp (5,380 meter) pada 12 April.

Lima pendaki yang bersamanya adalah Eugene Kwan Jyh Sin, 47, Chong Nyuk Kooi, 49, Teng Hee Weng, 48, serta Berdych Tan Teck Chai dan Jack Oh Jin yang masing-masing berusia 32 tahun.

Mereka akan menemani Lee sehingga ke Everest Base Camp sebelum Lee menyambung perjalanannya ke puncak gunung itu dalam ekspedisi yang dianjurkan Lions Club of Port Dickson Pantai.

Pada Mei tahun lalu, Lee terpaksa membatalkan peringkat akhir pendakiannya ke puncak Gunung Everest apabila sampai ke Kem III pada ketinggian 7,200 meter kerana cuaca buruk.

Ketinggian Gunung Everest ialah 8,848 meter.