Lindungi Pusat Judi dan Rumah Urut, Tiga Anggota Polis Direman

Tiga pegawai polis antara enam individu direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan kegiatan mengutip wang daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di beberapa lokasi sekitar Melaka.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Muhamad Safuan Azhar di Putrajaya hari ini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut BH Online, mereka direman bermula hari ini hingga 22 Mei ini bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Semalam, SPRM menahan tiga pegawai polis dan tiga orang awam di sekitar Melaka selepas dipercayai terbabit rasuah.

Semua mereka yang ditahan terdiri daripada dua pegawai berpangkat Asisten Superintendan yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan seorang lagi berpangkat inspektor dari sebuah ibu pejabat polis daerah.

Difahamkan petang ini tiga lagi pegawai polis akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pagi permohonan perintah reman membabitkan kes sama.