MEPS Nafi Sistem ATM Ditutup Tiga Hari Akibat Serangan Ransomware

Malaysia Electronic Payment System Sdn Bhd (MEPS) menafikan bahawa sistem mesin teller automatik (ATM) akan ditutup selama tiga hari akibat serangan ransomwareWannaCry” seperti disebarkan melalui aplikasi Whatsapp.

Menurut wakil syarikat tersebut, sistem perbankan di negara ini mempunyai tahap keselamatan yang tinggi dan langkah berjaga-jaga sentiasa diambil bagi memastikan serangan siber seumpama itu dapat dihalang.

Wakil syarikat itu berkata lagi bahawa serangan ransomware berkenaan sememangnya membimbangkan, namun hanya tertumpu kepada sistem komputer berasaskan sistem operasi Microsoft Windows sahaja.

Pengguna diingatkan agar tidak panik dengan keadaan semasa, selain perlu peka dengan pengumuman pihak berkuasa terutama Bank Negara dalam memastikan informasi diterima adalah benar dan tepat.

Tambah wakil itu, Bank Negara dan syarikat perbankan di negara ini akan mempertingkatkan lagi tahap keselamatan sistem perbankan agar tiada mana-mana maklumat pelanggan diceroboh, selain memastikan keyakinan pengguna bank tidak terhakis akibat serangan siber tersebut.