Pendakwa Panggil 39 Saksi Berhubung Kes Rempuh Basikal

Pihak pendakwaan akan memanggil 39 saksi berhubung pertuduhan terhadap seorang jurujual wanita kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian lapan remaja pada 18 Februari lalu.

Pihak pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan, Roslan Mat Nor dan Timbalan Pendakwaraya Muhammad Shafiq Mohd Ghazali memberitahu Mahkamah Majistret Trafik, di Johor Bahru hari ini.

Roslan turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa kesemua dokumen berkaitan kes itu telah diserahkan kepada pihak pembelaan, lapor Sinar Online.

Majistret Siti Hajar Ali kemudiannya menetapkan tarikh 15 Jun depan bagi pengurusan semula selepas menerima permohonan Peguam Bustaman Menon Abdul Hamid Menon yang mewakili tertuduh, Sam Ke Ting, 22 bagi menyemak dokumen yang diserahkan pihak pendakwaan.

Bustaman Menon memohon tempoh selama empat minggu kepada mahkamah bagi membuat semakan kerana membabitkan jumlah dokumen yang banyak.

Tertuduh yang hadir pada prosiding itu bersama keluarganya turut diwakili Faizal Mokhtar.

28 Mac lalu, Ke Ting mengaku tidak bersalah atas dakwaan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal, mahkamah kemudian menetapkan hari ini sebagai tarikh sebutan semula untuk pengurusan kes.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kenderaan di Jalan Lingkaran Dalam secara melulu atau dengan berbahaya sehingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal pada jam 3.20 pagi, 18 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda hingga RM20,000, jika sabit kesalahan.