PM Laos Diberi Sambutan Rasmi di Perdana Putra

Perdana Menteri Laos, Dr Thongloun Sisoulith diberi sambutan rasmi di Perdana Putra di Putrajaya hari ini sempena lawatan rasmi beliau selama dua hari ke Malaysia.

Beliau yang baharu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selepas lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan, beliau memeriksa barisan kehormatan yang terdiri daripada 106 pegawai dan anggota daripada Batalion Pertama Rejiman Askar Melayu Diraja.

Dr Thongloun yang diiringi Najib kemudiannya diperkenalkan kepada barisan menteri kabinet, pegawai kanan kerajaan serta perwakilan asing.

Najib dan Sisioulith kemudiannya mengadakan pertemuan empat mata sebelum menghadiri mesyuarat delegasi bagi membincang dan bertukar-tukar fikiran ke arah memperkukuhkan hubungan dua hala.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata lawatan rasmi itu membuktikan kepentingan yang pihak Laos letakkan dalam hubungannya dengan Malaysia, di samping ia memberi peluang terbaik untuk mengkaji semula kemajuan kepada hubungan sedia ada.

Ia berkata pemimpin Malaysia dan Laos akan memfokus kepada kerjasama untuk memperkembangkan ekonomi selain berhubung isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Nilai dagangan antara Malaysia dan Laos sentiasa meningkat yang pada 2016, nilai dagangan antara kedua-dua negara berjumlah AS$30.96 juta berbanding AS$17.7 juta pada 2015.

Kementerian Luar berkata Malaysia merupakan pelabur asing kelima terbesar di Laos dengan nilai pelaburan berjumlah kira-kira AS$1 bilion pada 2016.

Dari segi pelancongan, Malaysia merekod ketibaan 31,061 pelancong Laos pada 2016 berbanding 24,228 orang pada 2015.

Dalam konteks ini diharapkan lawatan tersebut akan memberi kesan lebih besar kepada hubungan kedua-dua negara dan menyediakan platform kepada kedua-dua pemimpin untuk memperbaharui hubungan peribadi dan membina ikatan serta persefahaman lebih erat, kata Wisma Putra.

Lawatan tersebut adalah atas jemputan Najib dan merupakan lawatan rasmi pertama Dr Thongloun ke Malaysia sejak memegang jawatan pada April 2016. – BERNAMA