Menarik
Tarikh Hari Ini
18 August 2017

DAP Beri Sokongan Penuh Pindaan Akta Halang Ibu Bapa Islam Tukar Agama Anak

DAP akan memberikan sokongan penuh terhadap pindaan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan Dan Perceraian) 1976 (Pindaan 2016) bagi menghalang ibu bapa yang memeluk Islam menukar agama anaknya tanpa persetujuan pasangan.

Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran berkata beliau memberi jaminan bahawa DAP akan menyokong penuh pindaan Perlembagaan Persekutuan itu seandainya Barisan Nasional tidak mempunyai majoriti dalam pembentangan rang undang-undang berkenaan.

“Sekiranya anda tidak mempunyai majoriti, dalam kepentingan negara, anda mesti mendekati ahli DAP.

“Saya boleh bercakap bagi pihak parti saya yang 36 daripada kami akan menyokong penuh pindaan perlembagaan, jika dibentangkan esok (hari ini).

“Kami adalah pemegang kepentingan dalam permainan ini,” kata beliau pada sidang akhbar semalam.

Beliau yang sebelum ini mengemukakan usul untuk meminda Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016 dengan memasukkan Seksyen 88A yang memastikan ibu bapa yang memeluk Islam tidak sewenang-wenangnya menukar agama anaknya kepada Islam.

“Adalah penting kita meletakkan ini sebagai pindaan esok (hari ini) untuk pertimbangan yang sesuai bagi seluruh Parlimen. Kami segera memerlukan pindaan ini.

“Saya juga meminta parti komponen BN untuk menyokong ini,” katanya.

Semalam Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz berkata bahawa pindaan tersebut sukar dilaksanakan kerana Barisan Nasional tidak mempunyai majoriti 2/3 dalam parlimen untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan Nazri itu bagi mengulas keputusan kerajaan untuk menarik balik usul pindaan tersebut selepas kira-kira empat bulan berkata akan berunding dengan pakar untuk mencari penyelesaian terhadap konflik penjagaan anak antara ibu bapa Islam dan bukan Islam.