Kos Ambulans Cuma RM225 Juta, Bukan RM400 Juta, Kata KKM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan laporan media yang mendakwa bahawa kementerian itu membelanjakan hampir RM400 juta untuk membeli 500 buah ambulans dengan spesifikasi lebih canggih yang menjadi tular semenjak pagi ini.

Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr Chen Chan Min berkata jumlah sebenar peroleh 500 ambulans berkenaan adalah sebanyak RM225.2 juta, sebaliknya nilai hampir RM400 juta itu pula merujuk kepada 925 buah ambulans yang diperolehi kementeriannya semenjak 2010.

“Perolehan kenderaan ambulans sebanyak 500 buah adalah berjumlah RM225.2 juta sahaja di mana separuh daripada ambulans ini adalah jenis ambulans spesifikasi penuh yang dilengkapkan dengan peralatan perubatan terkini.

“Antara peralatannya adalah Advance Cardiac Care Device, Portable Ventilator, Portable Medical Suction Unit, Foldable Stretcher with Safety Belt, Syringe Perfusion Pumps dan Vital Sign Monitor.

“Diharapkan dengan kenyataan ini ia dapat mengelakkan kekeliruan sekali gus menghalang pihak tidak bertanggungjawab memutar belitkan fakta sebenar,” katanya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan kementerian tersebut, harga sebuah ambulans termasuk kos pengubahsuaian dan peralatan perubatan dalamnya dianggarkan pada sekitar RM450,400.

Sementara itu beberapa pembekal peralatan perubatan yang dihubungi Selangor Press menegaskan bahawa harga bagi sebuah ambulans dengan kelengkapan teknologi terbaru dan barangan berkualiti mampu mencecah sehingga RM500 ribu hingga RM600 ribu.

Malah menurut pembekal-pembekal berkenaan, harga ambulans itu masih dianggap kompetatif dan berpatutan dengan spesifikasi yang ditawarkan, serta tiada isu yang perlu ditimbulkan oleh mana-mana pihak berkaitan pembelian unit ambulans berkenaan.