Perdana Menteri Beri Jaminan Hak Sabah, Sarawak Akan Terus Dipelihara

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan hak Sabah dan Sarawak akan terus dipelihara dalam Persekutuan Malaysia, selain memastikan rakyat kedua-dua negeri itu terus mendapat pembelaan sewajarnya.

Menurutnya, sebuah jawatankuasa khas mengkaji hak orang Sabah dan Sarawak sudah ditubuhkan bagi memastikan hak serta kepentingan kedua-dua negeri itu dipenuhi berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963.

“Kita akan berunding dalam satu keluarga. Tak payahlah kita membuat slogan ‘Sabah for Sabah’, ‘Sarawak for Sarawak’. Kita hendak ‘Sabah for Malaysia’ dan ‘Malaysia for Sabah’. Dengan ini, kita (Malaysia) akan maju.

“Keputusan (jawatankuasa khas) akan dibuat dalam masa tidak lama lagi bagi mengagihkan hak rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya berucap merasmikan sambutan Hari Malaysia 2017 peringkat kebangsaan di Kompleks Sukan Likas, malam ini.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman; Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar yang mewakili kerajaan Sarawak; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak serta barisan kepimpinan kerajaan persekutuan dan negeri Sabah serta Sarawak.

Najib berkata, kerajaan persekutuan tetap menghormati dan menghargai keputusan Sabah yang bersetuju untuk bersama Sarawak dan Semenanjung bergabung membentuk Malaysia.

Katanya, kerajaan persekutuan juga sentiasa berusaha mengurangkan, sekaligus menghapuskan jurang pembangunan antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung bagi memastikan pembangunan di kedua-dua negeri itu seimbang dengan negeri lain.

Usaha mengimbangi pembangunan itu, katanya, antara lain dapat dilihat menerusi pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dari Teluk Melano ke Lawas di Sarawak dan dari Sindumin ke Tawau di Sabah, dengan nilai peruntukan RM30 bilion.

“Lebuhraya (Pan Borneo) ini tanpa tol kerana ini adalah hadiah kita (kerajaan) kepada orang Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan persekutuan akan memberi perhatian khusus dalam menyediakan peruntukan untuk membina lebih banyak kemudahan asas luar bandar di Sabah dan Sarawak, memandangkan kawasan luar bandar di negeri terbabit masih memerlukan peruntukan tambahan.

Najib memaklumkan kerajaan turut memberi peruntukan khas dalam sektor bekalan elektrik kepada rakyat Sabah dan Labuan menerusi bantuan kewangan RM4.414 bilion dari 2012 hingga 2016 dan geran projek khas bekalan elektrik khusus untuk 2 wilayah itu sebanyak RM2.295 bilion.

“Dan apa yang kurang diketahui rakyat ada elemen subsidi tersembunyi yang diluluskan kerajaan melalui Petronas, apabila bekalan elektrik di Sabah harga gasnya hanya RM6.4 sejuta British Thermal Unit (mmbtu) berbanding RM22.7 mmbtu harga di Semenanjung.

“Tahun ini sahaja, Petronas memberi subsidi sebanyak RM390 juta untuk mengurangkan kadar tarif elektrik di Sabah. Inilah antara yang kita bantu Sabah dan kita nak jamin Sabah dan rakyatnya akan terus mendapat pembelaan sebaiknya,” katanya. – BERNAMA