Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Terus Jadi Tumpuan Orang Ramai

Meskipun sudah empat hari kejadian kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di sini berlaku, lokasi tragedi itu terus menjadi tumpuan orang ramai yang datang dari segenap pelusuk negara.

Kebanyakan mereka yang tiba seawal 7.30 pagi dilihat merakam gambar selain memasukkan duit sumbangan ke dalam tabung khas yang diletakkan di depan pusat tahfiz berkenaan.

Pengetua tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Mohd Zahid Mahmood menyifatkan sumbangan tidak putus-putus daripada orang ramai yang menziarahi lokasi tragedi sebagai ‘rezeki’ untuk pelajar pusat tahfiz yang kebanyakannya daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan berterima kasih kepada orang ramai yang sanggup datang dan menghulurkan sumbangan,” katanya ketika ditemui Bernama di pusat tahfiz itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Lokasi kejadian juga masih dikawal oleh anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam.

Selain itu, laluan di sepanjang Jalan Keramat Ujung juga agak sesak sejak kejadian kebakaran itu berikutan pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan ketika melalui lokasi tragedi.

Seramai 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tahfiz itu terkorban selepas terperangkap dalam kebakaran di tingkat paling atas bangunan tiga tingkat tersebut dalam kejadian 5.15 pagi Khamis lepas. – BERNAMA