Mahkamah Tolak Mohon Reman Ke Atas Boy Iman Di Lokasi Ketujuh

Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini hari ini menolak permohonan polis untuk mendapatkan perintah tahanan reman terhadap pengarah urusan DBI Properties Datuk Noruliman A. Rahman dan tiga lagi individu yang ditahan berhubung penipuan jualan rumah membabitkan nilai RM6.2 juta.

Majistret Dianne Ningrad Nor Azahar menolak permohonan reman itu selepas menerima alasan yang dikemukakan oleh peguam Faizul Mohd Nasir yang mewakili keempat-empat suspek bahawa mereka telah direman di beberapa mahkamah sebelum ini.

“Mahkamah membenarkan kesemua mereka dibebaskan hari ini dan mereka akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah sebelum dibebaskan,” katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah, di Bukit Mertajam.

Noruliman, 37, yang juga pelakon dikenali sebagai Boy Iman, ditahan di Balai Polis Bukit Indah, Ampang pada 2 Oktober lepas berkaitan siasatan kes penipuan jualan rumah membabitkan nilai RM6.2 juta.

Boy Iman ditahan reman sebelum ini di Ampang dan Shah Alam di Selangor; Muar di Johor Bahru; Sungai Petani dan Kubang Pasu di Kedah serta Kangar, Perlis.

Sebelum ini, polis menerima sebanyak 210 laporan berkaitan penipuan jualan rumah yang dilakukan oleh dua syarikat termasuk DBI Properties membabitkan kerugian keseluruhan sehingga RM6.2 juta.

Syarikat berkenaan didakwa menawarkan harga rumah kepada pembeli dengan harga yang jauh lebih rumah daripada pasaran iaitu sekitar RM60,000 untuk sebuah rumah banglo berkeluasan 1,650 kaki persegi. – BERNAMA