NUTP Gesa Kerajaan Laksanan Kod Etika Ibu Bapa Bagi Lindungi Guru

Kongres Kesatuan Guru Kebangsaan (NUTP) mahu Kementerian Pendidikan melaksanakan satu kod etika ‘Ibu Bapa’ dengan segera untuk melindungi guru selain dapat mengharmonikan hubungan kedua-dua pihak.

Presidennya Kamarozaman Abd Razak berkata kod etika itu akan memastikan maruah dan emosi guru tidak terjejas akibat tekanan berpunca daripada serangan ibu bapa yang tidak berpuas hati terhadap mereka.

“NUTP membuat cadangan kepada Kementerian Pendidikan setahun lepas tetapi sehingga kini tiada perkembangan. Oleh itu, kita perlu ambil tindakan seperti dilaksanakan negara maju, bukan ambil tindakan apabila berlaku musibah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis pelancaran CDERT (Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti)-NUTP dan pemakaian pangkat pegawai bersekutu CDERT-NUTP oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim malam tadi di Kangar, Perlis.

Kamarozaman berkata NUTP akan ambil tindakan proaktif dengan mendapatkan maklum balas daripada ibu bapa, badan bukan kerajaan serta membincangkan rangka kod etika itu bersama peguam sebelum dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan.

“Kebanyakan kes guru diserang ibu bapa berlaku di bandar. Walaupun tidak banyak namun tetap memberi kesan kepada guru dan ‘penyakit’ tersebut boleh merebak menjadi lebih besar dan akhirnya hubungan antara guru dan ibu bapa menjadi tidak harmoni,” katanya.

Mengenai Bajet 2018, beliau merayu kerajaan menambah peruntukan penyelenggaraan sekolah memandangkan banyak sekolah terutama di luar bandar berusia lebih 30 dan 20 tahun perlu diselenggara atau dibaik pulih segera bagi menjamin keselamatan pelajar dan guru.

“Untuk melaksanakan transformasi dan melahirkan modal insan berkualiti, pendidikan amat penting,” katanya dan menambah peruntukan RM600 juta untuk penyelenggaraan 10,600 sekolah di seluruh negara dalam Bajet 2017 tidak mencukupi.

Sementara itu, Shahidan berkata penubuhan CDERT di peringat NUTP akan melancarkan operasi bantuan di peringkat komuniti kerana guru banyak terlibat dengan masyarakat.

“Kita mempunyai aset yang perlu digerakkan semasa bencana dan NUTP dengan keahlian lebih 200,000 orang, kita mampu lancarkan operasi bantuan,” tambahnya.

Shahidan berkata Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mampu memberi latihan termasuk hal keselamatan. – BERNAMA