Amanah Serah Kepada Pihak Berkuasa Tentukan Nasib Anak Husam

Parti Amanah Negara (Amanah) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan mahkamah berkaitan nasib anak Naib Presiden, Datuk Husam Musa yang ditahan polis Ahad lalu di Kota Bahru, Kelantan.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata partinya masih menunggu laporan penuh berkaitan penangkapan itu dan berharap hal tersebut mampu diselesaikan dengan baik.

“Kita tidak ada masalah dan kita serahkan pada pengadilan. Kita harap ianya diselesaikan dengan cara baik.

“Jika nak bawa ke mahkamah, kita akan melalui perundangan yang paling baik,” katanya kepada sebuah portal berita dalam talian selepas hadir di majlis peringatan tokoh veteran DAP, mendiang Lau Dak Kee, di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur.

Anak Naib Presiden Amanah yang berusia 29 tahun itu ditahan selepas pihak polis menemui 200 biji pil kuda di sebuah rumah di Jalan Pasir Mas-Salor, Kota Bharu, Ahad lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Ismail Mat Sidik, suspek bertindak agresif dan berlaku pergelutan ketika ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bahru.

Susupek dibawa ke Mahkamah Kota Bharu untuk mendapatkan perintah tahanan reman untuk disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya.

Husam, yang juga Adun Salor, berkata beliau hanya mendapat tahu anaknya ditahan polis melalui jirannya dan tidak dimaklumkan oleh pihak berkuasa itu.