Bekas Pasangan Suami Isteri Giat Pecah Rumah Diberkas Polis

Sepasang bekas suami isteri yang giat melakukan aktiviti pecah rumah di sekitar daerah Besut dan Pasir Puteh, Kelantan ditahan polis di sebuah taman perumahan dekat Jertih petang semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi memberitahu suspek ditahan setelah polis menemui pelbagai barangan curi di sebuah rumah di Taman Desa Saujana.

Katanya, suspek lelaki yang berusia 26 tahun dan bekas isterinya, 23, merupakan penduduk tempatan yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

“Dalam serbuan kira-kira pukul 5.00 petang semalam, polis menemukan beberapa jenis barang elektronik termasuk barang kemas serta wang tunai.

“Antara barangan tersebut ialah lapan unit komputer riba, dua bentuk cincin emas, dua unit kamera jenama Canon dan Nikon, seutas gelang tangan emas, dua unit tablet, dua unit telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM200 dan alatan pecah rumah serta dokumen peribadi mangsa termasuk kad pengenalan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Mohd Zamri lagi, siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kes pecah rumah dan sekolah termasuk di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Putera, Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Jertih, SK Tempinis, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan dan Sekolah Menengah (SM) Sains Pasir Puteh, Kelantan.

Katanya, polis bertindak menangkap suspek yang sudah bercerai itu berdasarkan laporan kes pecah pejabat dan rumah guru di MRSM Kota Putera yang berlaku malam semalam.

Kedua-dua suspek kini ditahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah masuk pejabat dan curi. – BERNAMA