Dua Pegawai SPRM Disyaki Positif Dadah Di Pusat Hiburan Ditahan Polis

Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditahan kerana disyaki positif dadah di sebuah pusat hiburan di Brickfields, tengah malam tadi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, kedua-dua pegawai berusia 33 dan 35 tahun itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur dalam satu pemeriksaan ujian saringan air kencing.

“Saya mengesahkan dua pegawai SPRM ditahan dan mereka direman empat hari bermula hari ini sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azam berkata, pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis dan mahu tindakan undang-undang diambil segera kepada mana-mana pegawai SPRM yang terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata, SPRM sebagai sebuah badan berintegriti tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawainya yang melakukan kesalahan jenayah. – BERNAMA