Hubungan Erat Malaysia-Arab Saudi Beri Manfaat Kepada Rakyat, Umat Islam

Hubungan erat yang terjalin antara Malaysia dan Arab Saudi bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, malah impaknya turut dirasai umat Islam seluruh dunia.

Menteri Hal Ehwal Agama Islam Arab Saudi, Sheikh Saleh Abdul-Aziz Muhammad Al-Sheikh berkata, kedua-dua negara mempunyai hubungan di peringkat tertinggi yang sangat baik, sehinggakan Malaysia terpilih negara pertama di Asia Tenggara yang dilawati Raja Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud.

“Lawatan Raja Salman ke Malaysia pada Februari lepas membuahkan hasil dalam pelbagai bidang, terutama dalam menegakkan syiar Islam ke persada dunia. Malah, Muktamar Khayr Ummah 2017 memilih Malaysia sebagai tuan rumah, atas kerjasama erat yang terjalin antara kedua-dua negara.

“Terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Arab Saudi atas kerjasama ini, terutama kepada Raja Salman atas peluang yang diberikan baginda kepada Kementerian Hal Ehwal Agama Arab Saudi untuk menganjurkan persidangan ini,” katanya dalam sidang media Muktamar Khayr Ummah 2017 (KUC 2017) hari ini.

Muktamar bertemakan “Manhaj Ahli Sunah Menyatukan Asean” itu pertama kali dianjurkan di Asean.

Katanya, pemilihan tema itu selari visi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu merealisasikan konsep “Khayr Ummah” atau sebaik-baik ummah di negara ini.

KUC 2017 bermula pagi ini dengan pembentangan beberapa kertas kerja berdasarkan 4 tema utama, termasuk pelaksanaan konsep kesederhanaan dan ancaman terhadap kemampanan konsep itu.

Sebanyak 30 kertas penyelidikan dibentangkan pada KUC 2017 selama 2 hari yang disertai kira-kira 1,200 peserta dari beberapa negara termasuk Arab Saudi, Filipina, Thailand, Jepun, Indonesia, Vietnam dan Laos.

KUC 2017 dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Jabatan Hal Ehwal Khas, Pertubuhan Al-Khadeem Malaysia dan Pertubuhan Ilmuan Malaysia, manakala Universiti Teknologi Mara berperanan sebagai penyelaras program.

Selain pembentangan kertas kerja, turut diadakan pameran yang disertai pelbagai agensi, jabatan dan institusi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat swasta yang terlibat secara langsung dalam KUC 2017.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijadual menyempurnakan majlis penutup persidangan itu esok. – BERNAMA