Jangan Manipulasi Fakta Perjanjian Malaysia 1963, Kata Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mahu semua ahli politik berhenti mempolitikkan dan memanipulasikan fakta berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kerana ia boleh menimbulkan kegelisahan rakyat.

Beliau berkata semua ahli politik dan anggota parlimen seharusnya mengetepikan warna parti dan perbezaan masing-masing serta bersikap rasional dalam membincangkan isu tersebut.

Tegas beliau, pada hakikatnya secara majoriti rakyat telah menerima kesatuan Malaysia dengan baik.

“Malaysia harus hidup bukan sekadar 33 tahun akan datang, apabila kita menghadapi tahun 2050, tetapi Malaysia akan berada sebagai sebuah persekutuan sampai bila-bila.

“Sabah, Sarawak dan Semenanjung berpisah tiada,” katanya semasa berucap melancarkan buku ‘Berpisah Tiada’ karya Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia di bangunan Parlimen, hari ini yang turut dihadiri anggota Dewan Rakyat.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, mengingatkan ahli politik supaya tidak meracuni pemikiran rakyat dengan harapan meraih undi.

“Kita harus berfikiran terbuka, dan terima hakikat bahawa kuasa rakyat adalah kuasa keramat, serahkan kepada mereka dengan kempen-kempen terbaik.

“Yang baik kita terima yang buruk kita sama-sama ketepikan agar dapat membentuk sebuah negara sebagaimana dihasratkan di dalam buku ‘Berpisah Tiada’ ini, satu hasrat untuk kita mengharmonikan negara kita ini sebagai sebuah negara bangsa yang majmuk dengan pelbagai bangsa, agama dan budaya,” katanya.

Mengenai buku yang ditulis dalam bahasa Melayu itu, Ahmad Zahid berkata sememangnya wujud pelbagai kajian oleh penganalisis sebelum ini mengenai hak Sabah dan Sarawak, namun setiap daripadanya wujud elemen berat sebelah, prasangka dan prejudis.

“Ini adalah kelemahan akademik tetapi buku Berpisah Tiada ini, walaupun tidak berbentuk empirikal dan bukan bertujuan akademik, tetapi dalam pemerhatian saya niat penulisnya adalah untuk membetulkan persepsi prasangka dan kajian-kajian bias (berat sebelah) yang punyai tujuan tertentu. Ini lah kelebihan dalam buku ‘Berpisah Tiada’ ini,” katanya.

Sementara itu, Pandikar berkata beliau terpanggil untuk menulis buku itu bagi membetulkan persepsi salah banyak pihak di Sabah yang mendakwa hak mereka terhakis, dicabuli dan dirampas oleh kerajaan persekutuan.

“Anehnya saya dari Sabah, dan saya percaya rakan-rakan saya dari Sarawak tidak terasa sekali pun hak saya sebagai Sabahan dicabuli dan sebagainya,” katanya.

Katanya beliau merungkaikan segala persoalan mengenai hubungan Sabah dan Semenanjung Malaysia di dalam buku setebal 147 halaman, antara lain berkaitan kedudukan dan kepentingan Sabah dalam Malaysia, khususnya pada aspek perundangan, sejarah, politik dan perlembagaan.

Buku berkenaan yang boleh dibeli pada harga RM50 di Parlimen akan diterjemahkan ke bahasa Inggeris dalam masa terdekat. – BERNAMA