JAWI Buka Siasatan Dan Ambil Tindakan Terhadap Siti Kasim, Kata Jamil Khir

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah membuka kertas siasatan berhubung penghinaan dan kenyataan mengelirukan dikeluarkan peguam kontroversi, Siti Kasim terhadap Islam dan akan memanggilnya dalam masa terdekat bagi tindakan susulan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pihaknya memandang serius terhadap mana-mana individu yang mengeluarkan kenyataan atau melakukan perbuatan menghina serta mengelirukan terhadap Islam.

Katanya, sehingga kini pelbagai tindakan telah diambil kerajaan melalui institusi berkaitan agama Islam seperti mengikuti kelas agama yang telah dikenakan ke atas “Raja Bomoh” Ibrahim Mat Zin.

“Dalam konteks Siti Kasim, pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) telahpun ambil tindakan.

“Kertas siasatan telah dibuka dan pihak berkenaan telah dipanggil,” katanya sewaktu menjadi ahli panel bagi kluster agama di Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah 3.0 di Kuala Lumpur, semalam.

Jamil yang menjawab soalan peserta berhubung tindakan diambil kerjaaan terhadap individu seperti Siti Kasim atau nama sebenarnya, Siti Zabedah Kasim yang dilaporkan kerap mengeluarkan kenyataan yang dianggap menghina dan mengelirukan mengenai Islam.