JKKP Arah Henti Kerja Pembinaan Selepas Insiden Kren Tumbang

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengeluarkan notis pemberhentian kerja bagi aktiviti pembinaan di tapak pembinaan di Kampung Baru, susulan kejadian kren tumbang semalam.

Ketua Pengarahnya Datuk Mohtar Musri berkata tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta Akta Kilang dan Jentera 1967.

Katanya jika didapati bersalah, pihak yang bertanggungjawab boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Ketika kejadian, seorang pekerja sedang mengendalikan kren menara bagi mengangkat bebanan, secara tiba-tiba ‘luffing boom’ kren menara itu tumbang dan menghempap sebuah kenderaan di luar tapak pembinaan.

Kejadian ini menyebabkan kecederaan ringan kepada seorang pekerja dan dua orang awam selain kerosakan kepada kenderaan yang diparkir berhampiran lokasi kemalangan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata JKKP memandang serius setiap kemalangan yang berlaku terutamanya yang melibatkan pekerja mahupun orang awam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.00 tengah hari semalam, tiga orang cedera ringan dan dua kenderaan terjejas. – BERNAMA