KPN Nafi PDRM, Kerajaan Tarik Khidmat UTK Kawal Keselamatan Dr Mahathir

Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan bahawa pihak kerajaan telah menarik khidmat Unit Tindakan Khas (UTK) yang ditugaskan mengawal keselamatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed seperti tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya masih mengekalkan anggota UTK untuk mengiringi dan memastikan keselamatan Dr Mahathir termasuk ketika bekas pemimpin itu berada di rumah.

“Mana ada UTK (ditarik), polis masih kekalkan anggota UTK (mengawal keselamatan) untuk Dr Mahathir,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Kata Mohamad Fuzi, penularan dakwaan tersebut tidak tepat memandangkan PDRM hanya memanggil kembali anggota polis biasa yang menjadi pengiring untuk kembali bertugas seperti biasa.

Tambahnya, tindakan memanggil semula anggota polis biasa itu merupakan prosedur standard dan tidak melibatkan campur tangan politik seperti didakwa beberapa pihak.

Kenyataan Mohamad Fuzi itu susulan kenyataan yang dimuat naik ke beberapa laman Facebook kumpulan penyokong Dr Mahathir yang mendakwa anggota UTK yang ditugaskan untuk mengawal keselamatannya telah ditarik balik pada Rabu lalu.

Kenyataan tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang menganggap tindakan itu keterlaluan, selain tawaran NGO veteran tentera yang bersedia memberi khidmat mengawal keselamatan kepada Pengerusi Pakatan Harapan itu.