Pengguna Risau Harga Runcit Bahan Bakar Naik Lagi Minggu Ini

Harga runcit bahan bakar minggu ini menyaksikan peningkatan beberapa sen berikutan langkah Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) terus mengurangkan pengeluaran sekali gus menyaksikan permintaan melebihi penawaran.

Harga runcit RON95 meningkat sebanyak tujuh sen menjadi RM2.30 per liter, manakala RON 97 pula meningkat sebanyak enam sen kepada RM2.66 per liter bermula 12.01 malam ini sehingga 11.59 malam, Rabu hadapan.

Dalam pada masa sama, harga runcit diesel pula ditetapkan kepada RM2.25 per liter meningkat lima sen berbanding harga minggu lalu, RM2.20 per liter.

Hasil tinjauan melalui media sosial mendapati rata-rata pengguna meluahkan kerisauan dengan kenaikan berterusan harga runcit bahan bakar di pasaran dan meminta kerajaan mengambil tindakan untuk menstabilkan harga.

Menurut beberapa pengguna, peningkatan harga bahan bakar ini dikhuatiri akan menyebabkan kenaikan harga barangan di pasaran akibat peningkatan kos logistik dan pengangkutan.