Pesawat C130 Hercules TUDM Lakukan Pendaratan Cemas Di Labuan

Sebuah pesawat angkut C130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melakukan pendaratan cemas selepas menghadapi masalah peralatan kekaki (landing gear) di Lapangan Terbang Labuan, hari ini.

TUDM, dalam kenyataan, berkata pesawat berkenaan terpaksa membuat pendaratan cemas tanpa tayar pada jam 5.15 petang, setelah enam jam berlegar-legar di ruang udara Labuan bagi membakar minyak di udara.

“Juruterbang dan kesemua anak kapal tidak mengalami sebarang kecederaan. Landasan kini ditutup sehingga diberitahu kelak,” menurut kenyataan itu.

Pengurus Lapangan Terbang Labuan, Ahmad Fikri Samsudi memberitahu  sebanyak enam penerbangan ke dan dari Kota Kinabalu, Miri dan Kuala Lumpur dibatalkan sejak jam 2.00 petang tadi, berikutan kerja-kerja mengosongkan landasan. – BERNAMA