Polis Tumpas Sindiket Jual Gelaran Palsu, Pingat Kebesaran Bernilai RM1.34 Juta

Polis Johor berjaya menumpaskan sebuah sindiket penjualan gelaran palsu serta merampas lapan pingat darjah kebesaran dan watikah pelantikan dianggarkan bernilai RM1.34 juta di Johor Bahru, bulan lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata pada serbuan 30 Oktober itu, pihaknya turut menahan dua suspek lelaki berusia antara 40 dan 57 tahun yang dipercayai ahli sindiket dan berasal dari Batu Pahat itu, untuk membantu siasatan.

“Hasil siasatan awal mendapati sindiket tersebut telah bergerak aktif sejak awal tahun ini. Sehingga kini, terdapat 13 laporan polis telah dibuat dan kita juga telah berjaya mengesan lebih 40 orang ahli sindiket.

“Sindiket juga bertindak menyertai Persatuan Komuniti Kepolisian bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan masyarakat. Untuk itu, kita meminta mana-mana individu yang terlibat di dalam sindiket ini untuk tampil ke mana-mana balai polis berhampiran untuk diambil keterangan sebelum kami sendiri tampil berjumpa dengan anda,” kata beliau kepada pemberita, di sini hari ini.

Mohd Khalil juga berkata pihaknya juga menjejaki seorang lelaki bernama Muhamad Faizal Abd Rahman, 33, bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Kita telah senaraikan lelaki ini sebagai orang dikehendaki dan hasil siasatan mendapati alamat terakhir suspek adalah di Kuala Lumpur,” kata beliau.

Menurutnya, sindiket juga menggunakan modus operansi yang licik di mana mereka akan bertindak menghasut orang supaya menjadi ahli pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak didaftarkan selain terlibat dalam aktiviti penjualan Darjah Kebesaran Negeri.

“Untuk menjadi ahli sindiket, mereka perlu membayar sebanyak RM20,000 hingga RM30,000 dan untuk mendapat gelaran Datuk mereka perlu membayar RM180,000 dan RM280,000 bagi gelaran Datuk Seri,” jelasnya.

“Bagaimanapun, siasatan mendapati tiada golongan kerabat dan orang kenamaan yang terlibat di dalam sindiket ini,” jelasnya.

Selain itu, beliau berkata hasil siasatan juga mendapati sindiket yang menawarkan Darjah Kebesaran Negeri dari negeri-negeri lain tidak termasuk Johor itu, memang palsu setelah polis mendapatkan pengesahan dari negeri-negeri berkenaan.

Justeru itu, beliau menyeru orang ramai agar tidak terlalu mudah terpedaya dengan sindiket-sindiket yang menawarkan Gelaran Kehormat atau Darjah Kebesaran, dan Pingat yang kononnya dikurniakan oleh Yang DiPertuan Agong, Statut Raja atau Yang DiPertuan Negeri.

Menurutnya, tidak ada nilai yang boleh membeli gelaran berkenaan selain daripada jasa kepada negara dan masyarakat.

“Duit tidak akan dapat membeli gelaran Datuk. Saya sendiri bekerja lebih 30 tahun baru dapat kerana gelaran tersebut hanya akan diberikan setelah kita menyumbangkan jasa kepada negara dan masyarakat,” kata beliau.

Menurutnya, setiap penganugerahan akan dijalankan secara terperinci dan melibatkan pelbagai agensi dan pihak, jadi sekiranya ia dapat ditawarkan dengan sebegitu mudah, itu adalah penipuan yang nyata.

Kes disiasat di bawah Seksyen 45 (1) Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 471 Kanun Keseksaan atas kesalahan memalsukan dokumen dengan niat menipu, Seksyen 15 (2) Akta Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2017 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – BERNAMA