RCI Percaya Dr Mahathir “Rela” Tindakan Menteri Kewangan Dalam Isu Forex

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian dialami Bank Negara Malaysia (BNM) dalam urus niaga mata wang asing (forex) pada 1990-an percaya perdana menteri ketika itu merelakan tindakan menteri kewangan ketika itu yang mengakibatkan bank pusat mengalami kerugian RM31.5 bilion.

Suruhanjaya itu juga berpandangan menteri kewangan ketika itu sengaja menyembunyikan fakta dan maklumat serta membuat kenyataan mengelirukan kepada jemaah menteri berhubung perkara itu.

“Suruhanjaya juga berpandangan terdapat elemen menyembunyikan fakta dengan sengaja memandangkan Laporan Tahunan BNM tidak menunjukkan kerugian sebenar yang dialami akibat urus niaga forex dari 1992 hingga 1994,” menurut suruhanjaya lima panel diketuai bekas ketua setiausaha negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dalam laporan 524 muka surat yang dibentangkan di Parlimen hari ini.

Laporan itu menyebut perdana menteri ketika itu turut dimaklumkan oleh menteri kewangan bersama dengan timbalan ketua setiausaha perbendaharaan pada penghujung 1993 bahawa BNM mengalami kerugian akibat urus niaga forex pada 1992 dan 1993 berjumlah RM30 bilion.

Bagi tempoh yang dinyatakan dalam laporan itu, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah perdana menteri manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah timbalan perdana menteri merangkap menteri kewangan.

Keputusan suruhanjaya itu, yang turut dianggotai Datuk Wira Kamaludin Md Said, Datuk Seri Tajuddin Atan, Tan Sri Saw Choo Boon dan Pushpanathan S A Kanagarayar, dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V. – BERNAMA