Siti Kasim Dakwa Dirinya Difitnah Menentang Islam, Bakal Saman Jamil Khir

Peguam kontroversi, Siti Zabedah Kasim memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap dirinya.

Siti Zabedah, atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim, berkata kenyataan Jamil yang mendakwa dia sering mengeluarkan kenyataan menentang dan mengelirukan tentang Islam adalah fitnah dan mencalarkan imejnya sebagai seorang peguam.

Katanya, pihaknya tidak teragak-agak untuk menghantar surat saman kepada menteri itu jika beliau tidak berhenti mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya.

“Menteri itu (Jamil) akan menerima surat daripada saya tidak lama lagi jika beliau tidak berhenti menfitnah saya.

“Kenyataan yang saya keluarkan tentang Islam bukanlah bertujuan menghasut dan mengelirukan seperti didakwa, tetapi merupakan pandangan peribadi,” kata Siti.

Siti telah memuat naik status melalui akaun Facebooknya, semalam, memberi amaran kepada Jamil untuk menghentikan fitnah terhadapnya dan bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap pemimpin itu.

Jamil yang diminta mengulas lanjut mengenai amaran Siti itu berkata pihaknya bersedia disaman demi mengelakkan peguam tersebut mengeluarkan lebih banyak kenyataan mengelirukan berkaitan Islam

“Tak mengapa, dia nak saman saya terima sahaja,” kata Jamil.

Ketegangan antara Jamil dan Siti Zabedah tercetus selepas menteri itu mendakwa peguam tersebut sedang disiasat oleh JAWI berhubung kenyataan mengelirukan tentang Islam, semasa menjawab soalan seorang peserta pada Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah 3.0, Ahad lalu.