Ulama Disaran Guna Media Massa Tanggani Fahaman Ekstremis Pengganas

Golongan ulama disaran menggunakan media massa bagi menangani fahaman ekstremisme dan mengelak umat Islam terpengaruh dengan dakyah dibawa kumpulan pengganas.

Pensyarah Fakulti Komunikasi Al-Imam Muhammad Ibn Saud Islamic University di Arab Saudi, Dr Muhammad Al Bashar Muhammad Al-Khar’an berkata, ulama perlu memainkan peranan penting dalam menerangkan imej Islam sebenar kepada masyarakat, terutama golongan bukan Islam.

“Sebahagian ulama dan para ilmuwan jauh dari media massa, sedangkan media massa menjadi antara saluran penting dalam menyampaikan maklumat tepat dan menjaga imej Islam terhadap bukan Islam.

“Mereka (ulama) mampu menerangkan fahaman Islam sebenar melalui 2 sumber penting, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah,” katanya kepada Bernama selepas membentangkan kertas kerja bertajuk “Kesan Buruk Media Terhadap Pemahaman Wasatiyyah pada Muktamar Khayr Ummah 2017 (KUC 2017) hari ini.

Katanya, memberi kefahaman Islam tentang keadilan dan rahmatnya adalah jalan terbaik untuk menjaga dan menghalang masyarakat daripada jatuh ke lembah pengganas dan fahaman ekstremis.

Bertemakan “Manhaj Ahli Sunah Menyatukan Asean”, KUC 2017 selama dua hari bermula hari ini menyediakan platform perkenalan bagi sarjana Islam di Asia Tenggara untuk menjalin hubungan rapat untuk jangka panjang.

Sebanyak 30 kertas penyelidikan dijangka dibentangkan pada KUC 2017.

Antara negara yang menyertai persidangan itu ialah Arab Saudi, Filipina, Thailand, Jepun, Indonesia, Vietnam dan Laos.

KUC 2017 dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia; Jabatan Hal Ehwal Khas, Pertubuhan Al-Khadeem Malaysia dan Pertubuhan Ilmuan Malaysia, manakala Universiti Teknologi Mara pula berperanan sebagai penyelaras program.

Selain pembentangan kertas kerja, turut diadakan pameran yang disertai pelbagai agensi, jabatan dan institusi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat swasta yang terlibat secara langsung dalam KUC 2017.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijadual menyempurnakan majlis penutup persidangan esok. – BERNAMA