Zairil Sifatkan Peraturan Tauliah Penceramah Sebagai Alat Kuku Besi Kerajaan

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari mendesak kerajaan menghentikan peraturan mewajibkan pentauliahan penceramah agama yang disifatkan sebagai trend berbahaya dan alat kuku besi untuk mengongkong pemikiran umat Islam.

Zairil berkata peraturan tersebut jelas mencabuli hak kebebasan bersuara, akademik dan asasi lain yang termaktub dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

“Jika dahulu memberi tazkirah di masjid dianggap mengajar agama, sekarang nampaknya perbincangan akademik turut tidak terlepas.

“Penggunaan tauliah sebagai alat kuku besi harus dihentikan dan peruntukan undang-undang perlu dikaji semula kerana tidak jelas dan terlalu mudah disalahgunakan.

“Pendekatan ini juga seolah-olah menganggap semua Muslim sebagai orang bodoh yang senang keliru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Penolong setiausaha publisiti DAP itu, peruntukan undang-undang terhadap pendefinisian “mengajar apa-apa perkara yang berhubungan dengan agama Islam” itu terlalu luas dan tidak diterangkan dengan jelas.

“Apakah yang dimaksudkan dengan mengajar? Apa-apa perkara yang berhubungan dengan agama Islam pula boleh merangkumi apa sahaja, termasuk pensyarah yang mengajar modul kajian Islam di universiti atau bapa yang mengajar rukun Islam kepada anak di rumah.

“Adakah mereka semua perlu memohon untuk tauliah juga?” soalnya.

Kenyataan lantang Zairil itu dipercayai sebagai tindak balas terhadap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, pada 8 November lalu, yang mewajibkan penceramah agama tempatan atau asing mendapatkan tauliah bagi mengelakkan berlaku penyelewengan ajaran Islam, selain memastikan sensitiviti masyarakat di negara ini dapat dipelihara.

Zairil turut mengulas tindakan kerajaan menahan penulis dan aktivis liberalis Turki, Mustafa Akyol di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 25 September, yang dianggapnya memalukan negara kerana menjadi bahan jenaka dunia.

“Masakan tidak, apabila Mustafa terkenal kerana tulisannya yang secara lazim memperjuangkan pemikiran Islam yang sederhana dan toleran.

“Dengan tindakan yang ironis serta melampau ini, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) secara langsung telah ‘membakulsampahkan’ agenda wasatiyyah yang diuar-uarkan Perdana Menteri.”

Akyol, penulis buku kontroversi berkaitan Islam, ditahan JAWI selepas mengeluarkan kenyataan mengelirukan berhubung isu murtad dalam forum anjuran Islam Renaissance Front (IRF) dan kumpulan bekas kakitangan awam pro-liberalis, G25 di Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC).

Penahanan Akyol oleh JAWI itu susulan amaran yang telah dikeluarkan badan kuasa agama itu kepada pihak penganjur agar membatalkan forum terbabit kerana aktivis Turki itu tidak mempunyai tauliah, selain dilihat telah menulis beberapa buku yang dianggap berbahaya kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti “Islam Without Extremes: A Muslim Case for Liberty”.