Polis Akan Panggil Beberapa Individu Berhubung Skandal Forex BNM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal memanggil beberapa nama bagi membantu siasatan berhubung kemungkinan pecah amanah dan penipuan dalam skandal kerugian pertukaran matawang asing (Forex) Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 1990-an lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata keputusan tersebut akan dibuat selepas polis mempunyai asas yang kukuh memandangkan siasatan masih dalam peringkat awal, selain laporan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) itu baru sahaja diedarkan ke Dewan Rakyat semalam.

Beliau turut meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi kepercayaan kepada polis untuk menjalankan siasatan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

“Laporan polis telah dibuat. Kami telah membentuk pasukan petugas dan siasatan sedang dijalankan.

“Ini adalah kes berprofil tinggi, kami akan menyiasat dan memaklumkan perkembangan (kepada orang awam) dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurut Mohamad Fuzi, pihaknya hanya akan menahan individu-individi tertentu selepas mempunyai asas bergantung kepada keputusan siastan.

Tambanya lagi, siasatan tersebut kini telah diambil alih oleh pasukan petugas polis Persekutuan, yang diketuai oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Amar Singh.

Sebelum ini, Fuzi berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana melanggar amanah jenayah.

‪Pada 15 Februari lalu, kerajaan mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Khas (PPK) yang diketuai bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan untuk menyiasat dakwaan skandal kewangan terbesar membabitkan kerugian berbilion ringgit dialami BNM dalam perdagangan mata wang asing pada 1990-an dan mengemukakan syornya.‬

‪Pada 21 Jun lalu, laporan akhir PPK mendedahkan wujud kes prima facie dalam kerugian urus niaga mata wang asing (forex) BNM.‬

Pasukan itu juga mendapati jumlah kerugian urus niaga berkenaan jauh lebih besar daripada angka dimaklumkan kepada Parlimen dan Jemaah Menteri lebih 20 tahun lalu.

PPK mengesyorkan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengakhiri isu ini demi masa depan negara.

RCI itu ditubuhkan khas untuk menyiasat skandal forex di bawah pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Menteri Kewangan ketika itu.

Siasatan RCI yang dipengerusikan Mohd Sidek yang juga Pengerusi Petronas, dibantu Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan, pengerusi bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), Tan Sri Saw Choo Boon dan anggota Institut Akauntan Malaysia, K. Puspanathan.