Berang Ibu Tidak Beri Wang, Lelaki Sanggup Bakar Rumah Keluarga

Seorang penganggur tergamak membakar rumah keluarganya di Jengka 11, Maran, Pahang semalam selepas marah apabila ibunya enggan memberinya wang, kata Ketua Polis Daerah Maran, DSP Norzamri Abd Rahman.

Beliau berkata, suspek berusia 37 tahun yang mempunyai empat rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dipercayai melakukan perbuatan itu pada 2.00 petang dan difahamkan sudah dua hari mengugut berbuat demikian.

“Kebakaran itu bagaimanapun tidak menyebabkan kecederaan kerana ibu suspek berusia 66 tahun keluar untuk menetap bersama seorang lagi anaknya kerana bimbang dengan kelakuannya yang agresif.

“Suspek berjaya ditahan berhampiran kawasan rumah itu dan siasatan awal mendapati suspek dipercayai memulakan kebakaran dengan membakar tilam di dalam rumah itu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Norzamri berkata, rumah separa kayu dan batu itu musnah 80 peratus dan kerugian dianggarkan kira-kira RM90,000.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan, iaitu melakukan khianat menggunakan api yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA