Pemimpin DAP Dakwa IPTA Gagal Lahir Graduan Berwibawa, Punca Sukar Dapat Kerja

Ketidakupayaan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) melahirkan graduan tempatan berwibawa disifatkan sebagai faktor utama menyebabkan golongan itu sukar mendapat peluang pekerjaan yang baik di negara ini sehingga memaksa mereka berniaga dan melakukan pekerjaan sampingan.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata tanggapan bahawa kerajaan gagal menyediakan peluang pekerjaan mencukupi adalah kurang tepat, sebaliknya beliau mendakwa graduan kelahiran IPTA disifatkan tidak kompetatif untuk bersaing dalam pasaran kerja.

Katanya, pandangan dilontarkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamed berkaitan kegagalan kerajaan menyediakan peluang pekerjaan sehingga memaksa graduan berniaga nasi lemak dan memandu Uber itu dibuat atas kapasiti peribadi dan bukan kajian menyeluruh.

“Hanya kerana graduan kita menganggur, bukan bermakna tiada peluang pekerjaan.

“Ia hanya bermakna bahawa sistem pendidikan di negara ini tidak menghasilkan orang yang berwibawa untuk mengambil pekerjaan tersebut,” katanya.

Menurut Santiago, majikan tempatan kini lebih gemar memilih graduan lepasan IPT swasta tempatan dan juga graduan luar negara kerana disifatkan lebih terlatih dan berpengalaman berbanding graduan dari IPTA.

“Pertama, mereka akan mencari orang yang telah dilatih selama empat tahun di luar negara. Sekiranya mereka tidak dapat menemui mereka, mereka akan mencari sama ada mereka yang telah dilatih selama dua tahun di luar negara dan dua tahun di dalam negara, atau yang dilatih selama tiga tahun di luar negara dan setahun di luar negara.

“Apabila pilihan ini tidak ada, pilihan ketiga mereka adalah untuk mengajikan mereka yang belajar di institusi swasta berbanding dengan mereka yang belajar di universiti kerajaan.

“Walaupun berjuta-juta graduan dilihatkan dari sistem pendidikan awam, majikan di negara tidak melihatnya sebagai mereka yang boleh digajikan.”

Pemimpin DAP itu mendakwa selain majikan, golongan ibu bapa dari kelas pertengahan dan elit juga antara pihak yang tidak yakin dengan keberkesanan dan keupayaan sistem pendidikan tinggi awam di negara ini.

Tambahnya, golongan ibu bapa itu yang berkemampuan lebih gemar menghantar anak mereka menyambung pengajian di institusi pendidikan swasta kerana percaya bahawa sistem pendidikan yang ditawarkan adalah lebih baik.

“Sebab itulah sekolah-sekolah swasta tumbuh seperti cendawan selepas hujan.

“Mereka yang mampu menghantar anak-anak mereka ke sekolah swasta akan berbuat demikian kerana mereka yakin anak-anak mereka akan mendapat pendidikan yang lebih baik dan kemudian menamatkan pengajian di luar negara.”