Dr Mahathir Dimasukkan ke IJN Kerana Hadapai Jangkitan Di Dada

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamed, 93, dilaporkan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur selepas dikesan mengalami jangkitan di dada susulan masalah batuk.

Anaknya, Datin Paduka Marina Mahathir berkata bapanya kini berada dalam keadaan stabil, namun memerlukan rehat dan akan kembali sihat dalam masa terdekat.

“Pagi ini saya melawat bapa. Beliau baik, cuma perlukan rehat. Beliau akan kembali seperti biasa tidak lama lagi,” katanya menerusi Twitter.

Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat IJN, Dr Mahathir kini ditempatkan di wad umum dan adakan dirawat dan dipantau selama beberapa hari.

“Pada masa ini, Dr Mahathir ditempatkan di wad umum. Beliau akan dirawat selama beberapa hari bagi rawatan dan pemantauan,” kata kenyataan itu.

Dr Mahathir yang dijadualkan akan ke Bentong, Pahang, esok, bagi program ‘walkabout’ dan ceramah terpaksa membatalkan hasratnya selepas mendapat nasihat doktor.

Beliau sebelum ini pernah dimasukkan ke IJN beberapa kali, kali terakhir pada Ogos 2016 atas sebab yang sama.