Gagal Kemuka Rekod Suntikan Vaksin Pekerja, Restoran Mamak Didenda RM5000

Sebuah syarikat pengurusan restoran ‘mamak’ didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan gagal mengemukakan rekod suntikan vaksin dan latihan pengendali makanan untuk pekerja di restoran itu, tahun lalu.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu ke atas Al Fahima Management Sdn Bhd yang menguruskan Restoran Shafa Maju, selepas syarikat itu yang diwakili pengarah syarikatnya, seorang lelaki warga India selaku Orang Kena Saman (OKS), membuat pengakuan bersalah.

Syarikat itu didakwa tidak mematuhi Peraturan 11(1)(c) Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 iaitu gagal mengemukakan rekod suntikan vaksin dan latihan pengendali makanan semasa pemeriksaan di Restoran Shafa Maju, pusat beli belah Spectrum, Bandar Baru Ampang pada 12.15 tengah hari, 23 Mac 2016.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Peraturan 11(2) Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Mengikut fakta kes, pegawai daripada Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat menjalankan pemeriksaan di restoran mamak berkenaan dan mendapati premis itu gagal mengemukakan rekod suntikan vaksin dan latihan pengendali makanan.

Ketika rayuan, wakil syarikat itu yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dan berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan itu serta memastikan semua pekerja restoran mendapat suntikan vaksin dan latihan sewajarnya.

Pegawai Pendakwa Pejabat Kesihatan Hulu Langat Mahfuz Mohamad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira keseriusan kesalahan syarikat itu yang mengabaikan aspek keselamatan pelanggan dan kebersihan restoran.

“Majoriti pekerja di restoran itu adalah warga asing dari India. Menggaji pekerja yang tidak diberi suntikan vaksin adalah amat berisiko untuk pelanggan.

“Pengendali makanan sepatutnya mengendali makanan dalam keadaan sihat, selamat dan bersih untuk menjaga hak orang awam daripada dihinggapi penyakit berbahaya,” katanya. – BERNAMA