KWSP Isytihar Dividen 6.9 Peratus Kepada Pencarum, Tertinggi Semenjak 1997

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengisytiharkan kadar dividen 6.9 peratus bagi Simpanan Konvensional 2017 dengan jumlah agihan dividen sebanyak RM44.15 bilion dan 6.4 peratus bagi Simpanan Syariah, dengan agihan dividen RM3.98 bilion.

KWSP dalam satu kenyataan hari ini berkata, jumlah keseluruhan agihan dividen bagi 2017 sebanyak RM48.13 bilion, peningkatan 29.8 peratus dari 2016.

Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman berkata keseluruhan prestasi 2017 merupakan tahun penting bagi KWSP memandangkan ia kini menguruskan dua skim simpanan dan mengisytiharkan dua kadar dividen.

“Simpanan Syariah menunjukkan prestasi kukuh untuk pengisytiharan dividen pertama.

“Ini membuktikan prestasi aset Syariah KWSP yang mapan, seterusnya memberikan berita baik kepada ahli kami yang telah bertukar kepada Simpanan Syariah. Untuk Simpanan Konvensional, kadar 6.9 peratus merupakan kadar tertinggi pernah diumumkan sejak 1997,” katanya.

KWSP berkata, pengagihan dividen bagi setiap akaun diperoleh daripada jumlah pendapatan nyata selepas ditolak rosot nilai bersih ke atas aset kewangan, kerugian tidak nyata yang disebabkan kadar pertukaran mata wang asing dan harga instrumen derivatif, perbelanjaan pelaburan dan operasi, caj berkanun serta dividen atas pengeluaran.

Simpanan Syariah hanya memperoleh pendapatan mengikut bahagiannya daripada aset syariah, manakala bagi Simpanan Konvensional, sebanyak 38 peratus pendapatan diperoleh daripada aset syariah dan 62 peratus daripada aset bukan syariah.

Sementara itu, pendapatan pelaburan kasar bagi 2017 adalah RM53.14 bilion, jumlah tertinggi sejak penubuhan KWSP pada 1951.

KWSP berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM4.60 bilion diatribusikan kepada Simpanan Syariah, mengikut bahagiannya daripada jumlah keseluruhan aset syariah, manakala RM48.54 bilion diatribusikan kepada Simpanan Konvensional.

Pulangan bagi Simpanan Konvensional ditingkatkan pendapatan diperoleh daripada pelaburan bukan syariah, berikutan peningkatan prestasi saham perbankan sedunia, manakala Simpanan Syariah tidak dilaburkan dalam saham perbankan konvensional memandangkan ia tidak patuh syariah.

Di samping itu, KWSP berkata, rosot nilai ekuiti daripada saham patuh syariah, terutamanya daripada sektor minyak dan gas dan telekomunikasi menurunkan pendapatan portfolio syariah KWSP.

Samsudin berkata, sememangnya terdapat perbezaan pulangan Simpanan Syariah berbanding Simpanan Konvensional dalam jangka pendek. – BERNAMA