Suri Rumah Dipenjara Sehari, Didenda RM1000 Curi Pakaian Kanak-Kanak

Seorang suri rumah dihukum penjara sehari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini kerana mencuri 22 helai pakaian kanak-kanak pelbagai jenama termasuk satu beg kertas dengan nilai keseluruhan lebih RM400, semalam.

Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu terhadap Nurhidayah Ahmad Rashidin, 30, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri pakaian dan beg kertas itu yang berjumlah RM413.60 milik pasar raya Aeon Big.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini dan sebulan penjara sekiranya dia gagal membayar denda tersebut.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Aras Satu, Aeon Big Seksyen 5, Wangsa Maju pada 4.20 petang, 14 Februari 2018 mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, dan bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudian hendaklah diseksa dengan penjara dan boleh juga dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran.

Bagaimanapun, Nurhidayah yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia terdesak melakukan perbuatan itu akibat masalah kewangan dan suaminya baru sahaja mendapat pekerjaan. – BERNAMA