Jamal Percaya Azmin Arah Roboh Pusat Peranginan

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos tidak menolak kemungkinan tindakan meroboh dan menyita pusat peranginan miliknya oleh Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) berpunca dari tindakannya mengadakan protes semalam.

Sambil menyifatkan tindakan MDSB itu dipercayai atas arahan Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali disebabkan kelantangan beliau mengkritik kerajaan negeri berkaitan isu bekalan air.

“Pagi tadi hantar notis petang ni dirobohkan. Ini adalah tindakan balas dendam kerajaan negeri terhadap kelantangan saya mengkritik kerajaan di bawah pimpinan Azmin Ali.

“Apa yang saya lakukan ini adalah untuk kepentingan rakyat Selangor yang derita dengan masalah ketiadaan air,” katanya kepada pihak media petang tadi.

Beliau mendakwa terperanjat dengan tindakan MDSB menyita dan meroboh pusat peranginan miliknya, Sekin Fisherman Village Hotel and Resort itu kerana baru sahaja menerima notis arahan penutupan premis hari ini.

Jamal juga menafikan tuduhan beberapa pihak bahawa dirinya sengaja menjalankan perniagaan hotel secara haram, sebaliknya mendakwa telah membuat permohonan berkaitan pusat peranginan itu semenjak lima tahun lalu.

“Lesen sudah dipohon lima tahun. Semua syarat dan bayaran telah dibuat tetapi lesen tidak diberi oleh MDSB,” tambahnya lagi.

Jamal semalam mengemparkan negara apabila hadir di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam bertuala sambil membawa peralatan mandi sebagai tanda protes berkaitan isu gangguan bekalan air yang melanda negeri ini.