Pakatan Harapan Perlu Tumpu Manifesto, Kata Perkasa

Pakatan Harapan (PH) digesa agar menumpukan pembentukan manifesto supaya pengundi memahami dasar dan hala tuju gabungan parti itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 tidak lama lagi.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata manifesto merupakan faktor dominan menarik sokongan rakyat berbanding menamakan calon Perdana Menteri.

Menurut Ibrahim lagi, kepelbagaian latar belakang parti dan ideologi dalam PH memerlukan gabungan parti itu menampilkan manifesto yang benar-benar mapan.

“Saya rasa belum tiba masanya lagi (untuk umum calon PM). Orang nak tengok manifesto. Bila sebut saja Pakatan Harapan, dasar reformasi, apa yang reformasi?

“Apakah reformasi dan dasar yang diperjuangkan oleh DAP akan menjadi dasar Pakatan yang ada menyentuh nadi Perlembagaan Persekutuan?” tanya pemimpin NGO pro-bumiputera itu ketika ditemui pemberita.

Kenyataan Ibrahim itu ekoran kenyataan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang membayangkan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Azizah bakal menjadi Perdana Menteri seandainya PH berjaya menawan Putrajaya.