Tiga Lelaki Ditahan Pasang Papan Iklan Solidariti Anwar

Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung pemasangan papan iklan dipercayai cuba menghasut rakyat berhimpun untuk bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata tiga lelaki berusia 50-an itu ditahan ketika memasang papan iklan berkenaan di Jalan Baru, Perai di sini, kira-kira 3 petang tadi. “Pihak polis membuka siasatan mengikut Akta Hasutan selepas menerima laporan polis daripada orang awam berhubung pemasangan papan iklan berkenaan yang didakwa cuba menghasut rakyat.

“Semasa siasatan dijalankan, polis mengesan tiga lelaki sedang memasang papan iklan itu di kawasan Jalan Baru dan kami menahan mereka bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, malam tadi.

Katanya tiga lelaki itu kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas pihaknya merekodkan keterangan mereka.

Nik Ros Azhan berkata selain di Jalan Baru, tiga papan iklan itu dipasang di Alma, Bukit Teh dan Permatang Tinggi sejak dua hari lepas juga diturunkan oleh polis.

Beliau berkata polis turut menasihatkan penganjur agar tidak terus memasang papan iklan itu supaya tidak menimbulkan kekecohan.

Hari ini, UMNO Bahagian Bukit Mertajam menggesa agar tiga papan iklan yang dipercayai cuba menghasut rakyat berhimpun untuk bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim diturunkan segera.

Setiausahanya Mohd Fauzi Sharif dilaporkan berkata satu laporan polis dibuat bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang memasang papan iklan itu. – BERNAMA