Kerajaan Selangor Tidak Akan Layan Provokasi, Kata MB

Kerajaan Selangor tidak akan melayani sebarang provokasi pihak tidak bertanggungjawab untuk mencari populariti, sebaliknya memberi fokus terhadap kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata rakyat boleh menilai sendiri amalan politik tidak bertanggungjawab itu terhadap kerajaan Selangor.

Kenyataan Azmin itu sebagai mengulas tindakan Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang mengadakan sidang media di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam, pagi tadi

“Saya serah kepada rakyat untuk nilai. Sebaiknya saya akan terus jalankan tanggungjawab untuk bangunkan Selangor dan beri kemakmuran kepada rakyat.

“Pendekatan terbaik adalah saya tidak melayani karenah politik cetek kerana bagi saya kepentingan dan kesejahteraan rakyat lebih diutamakan,” katanya kepada pihak media semasa melawat mangsa banjir di Dewan Kampung Parit Baru, Sabak Bernam.

Jamal dalam sidang medianya pagi tadi membawa sembilan buah katil di hadapan bangunan pentadbiran kerajaan Selangor itu sebagai sindiran terhadap kegagalan kerajaan Selangor menanggani isu pelacuran dan perjudian di negeri ini.

Mengulas lanjut tindakan Jamal itu, Azmin menyarankan agar pemimpin Umno tersebut bertindak rasional dengan membantu keperluan masyarakat yang terjejas akibat banjir.

“Buat individu berkenaan, sepatutnya katil itu lebih elok hantar ke pusat pemindahan banjir bukan letak depan SUK,” sindir Azmin.