Responden Dakwa Kajian CPI Cabuli Hak Demokrasi Rakyat

Tindakan Centre of Policy Initatives (CPI) menghubungi sebilangan rakyat Malaysia melalui talian 03-78902700 untuk menjalankan soal selidik sokongan politik dengan bertanyakan beberapa soalan sensitif seperti pilihan parti pada pilihan raya umum dikritik respondennya.

Salah seorang responden yang menghubungi Selangor Press mendakwa soal selidik dilakukan CPI itu merupakan cubaan mencabuli hak demokrasi mereka memilih mana-mana parti politik tanpa perlu diketahui pihak lain.

Malah menurut responden terbabit juga, cara soal selidik itu dijalankan mengelirukan apabila pihak yang menghubunginya memperkenalkan diri sebagai wakil sebuah parti politik.

Namun hasil semakannya pula mendapati bahawa dakwaan pihak tersebut tidak benar memandangkan parti politik berkenaan telah mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan mereka dalam kajian terbabit.

Seorang responden lain pula mendakwa soal selidik itu sebenarnya dilakukan sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Invoke Malaysia.

Menurut responden berkenaan, dia mengetahui mengenai penglibatan NGO tersebut setelah pihak yang menghubunginya mengakui bahawa CPI ditubuhkan oleh Invoke Malaysia untuk menjalankan kajian berkaitan sosio-politik negara, selain mengumpul data untuk tujuan tertentu.

Tambah responden itu, sehingga kini CPI masih giat menghubungi rakyat Malaysia untuk menjalankan soal selidik tersebut yang tidak diketahui kepentingannya.

Hasil semakan Selangor Press melalui enjin carian mendapati CPI Invoke Malaysia dinaungi Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli serta Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen.

Maklumat mengenai CPI itu boleh diakses melalui laman sesawangnya di http://cpi.invokemalaysia.org