Akar Umbi Nasihatkan Umno Selangor Jangan Guna Calon Kitar Semula

Kepimpinan tertinggi Umno Selangor dinasihatkan agar tidak menggunakan calon “kitar semula” untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 sekiranya tidak mahu menerima nasib lebih buruk berbanding PRU lalu.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Kuala Selangor, Aemierulrizaki Rambli berkata, tindakan kepimpinan Umno Selangor mengitar semula calon yang telah ditolak oleh rakyat hanya akan merugikan parti itu, selain menunjukkan seolah-olah parti utama Melayu itu ketandusan pemimpin berwibawa dan berkelayakan.

Katanya lagi, ramai pemimpin yang mempunyai rekod bersih boleh ditampilkan untuk dijadikan sandaran kepada parti itu seandainya Umno Selangor serius ingin menawan kembali Selangor.

“Pemimpin Umno yang telah ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya sebelum ini harus memberi peluang kepada wajah baru untuk ditampilkan dalam pilihan raya umum akan datang.

“Mungkin mereka disukai kalangan ahli Umno dan mempunyai jawatan di peringkat bahagian, tetapi itu tidak bermakna mereka disenangi oleh rakyat dalam sesebuah kawasan,” katanya melalui Whatsapp kepada Selangor Press.

Aemirul turut meminta agar semua kepimpinan Umno Selangor menilai kenyataannya itu dari sudut positif dan seharusnya meletakkan kepentingan parti lebih utama berbanding keinginan individu.