Empat Wakil Rakyat DAP Melaka Umum Keluar Parti

Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him dan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka iaitu Goh Leong San (Duyong); Lim Jak Wong (Bachang), dan Chin Choong Seong (Kesidang) dari parti DAP mengumumkan keluar parti melalui sidang media tergempar itu di Melaka, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan kepada media, keempat-empat wakil rakyat DAP itu membuat keputusan keluar dari parti selepas hilang kepercayaan dan kecewa dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta kepimpinan pusat dalam menanggani pelbagai isu.

“Selepas pertimbangan wajar, serius, dan penuh kesal, kami hilang kepercayaan dan amat kecewa dengan anda (Lim Guan Eng) dan kepimpinan pusat dalam menangani isu dalaman dan luaran parti.

“Kami juga tidak boleh menerima pendirian yang diambil dalam penjajaran politik baharu yang dilakukan DAP kebelakangan ini,” kata mereka dalam surat yang ditujukan kepada Setiausaha Agung, Lim Guan Eng

Menurut mereka lagi, keputusan tersebut dibuat setelah membuat pertimbangan wajar dan tidak dilakukan atas desakan mana-mana pihak.

Sebaliknya mereka mendakwa ketidaktentuan hala tuju parti yang lari daripada perjuangan asal, selain kecewa dengan pendekatan diambil DAP ketika ini menjadi faktor utama keputusan tersebut.

Tambah mereka lagi, pada masa ini mereka tidak akan menyertai mana-mana parti politik lain sama ada di pihak kerajaan atau pihak pembangkang, namun tidak menolak untuk bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya umum akan datang.