Jamal Akan Hantar Surat Lepas Jawatan Politik, NGO Esok

Ketua Umno bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos tegas dengan pendiriannya untuk melepaskan semua jawatan dalam parti itu dan akan menghantar surat rasmi mengenai hal itu esok.

Kata Jamal, keputusannya itu jelas dan akan menyerahkan surat kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar bagi menentukan keputusan akhir.

Tambahnya, walaupun keputusannya itu mendapat tentangan dari akar umbi Umno bahagian Sungai Besar, namun beliau tidak akan berganjak dari keputusannya.

“Saya amat terharu hari ini dengan sokongan daripada ahli-ahli Umno. Saya telahpun nekad dan beriltizam.

“Apapun keputusan daripada pengerusi perhubungan, saya akan terima,” jelas Jamal dalam sidang akhbar di hadapan kediaman beliau di Ampang.

Dalam sidang media tersebut, lebih 100 ahli Umno Sungai Besar turut hadir menyatakan sokongan kepada Jamal susulan keputusannya untuk melepaskan semua jawatan politik dan badan bukan kerajaan (NGO) disertai beliau.

Jamal yang juga pengerusi Gabungan NGO Malaysia mengumumkan keputusan tersebut selepas dibebaskan bersama sembilan tahanan lain di ibu pejabat polis daerah Ampang Jaya pada kira-kira jam 7.00 malam, semalam.