Pegawai Azmin Anggap Tuduhan NGO Jamal Sebagai Fitnah

Pegawai Khas kepada Menteri Besar Selangor, Muhammad Hilman Idham menganggap tuduhan oleh Gabungan NGO-NGO Selangor terhadap kekayaan dimilikinya sebagai fitnah dan bersedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekira diminta berbuat demikian.

Hilman berkata tindakan Gabungan NGO-NGO Selangor dipengerusikan Datuk Seri Jamal Md Yunos itu sebagai cubaan mengheret nama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan menggunakan kaedah politik kotor selepas kegagalan pemimpin Umno itu mencalarkan imej kepimpinan negeri Selangor.

Katanya lagi, beliau menyerahkan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan, walaupun sebelum ini terdapat juga laporan terhadap dirinya.

“Biarlah, biar SPRM buat kerja dia.”

“Lagi pun mereka sudah terlambat sebab sebelum ini sudah ada laporan dibuat ke atas saya dan siasatan telah dibuat manakala kes juga telah ditutup.

“Saya sedia kerjasama dengan SPRM. Cukuplah fitnah tu, kita ada kerja nak buat,” ujarnya kepada sebuah portal berita dalam talian.

Tambah Hilman, beliau akan membuat laporan polis dalam masa terdekat berhubung tindakan NGO Jamal itu untuk membersihkan namanya dan Menteri Besar.

Semalam Gabungan NGO-NGO Selangor hadir ke pejabat SPRM Selangor untuk membuat laporan berhubung kekayaan dimiliki pegawai khas Azmin itu.

Menurut Penasihat Undang-Undang NGO berkenaan, Datuk Mohd Imran Tambrin, tindakan beliau dan rakan-rakannya membuat laporan tersebut disebabkan gaya hidup mewah dijalani Hilman tidak sepadan dengan pendapatannya sebagai penjawat awam Selangor.

Tambahnya lagi, laporan itu juga dibuat susulan penyebaran beberapa foto kemewahan pegawai Azmin tersebut di media sosial baru-baru ini.