Menarik
Tarikh Hari Ini
18 October 2017

Tuduhan Beli Porsche Cubaan Jatuh Kredibiliti Pas, Kata Sumber

Tindakan pihak tertentu mengaitkan pembelian kereta Porsche Cayman didaftarkan atas nama Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Hj Hashim Jasin dengan dakwaan penerimaan dana RM90 juta dari Umno, dianggap sebagai cubaan mencalar kredibiliti parti dan imej bekas Adun Sanglang itu.

Sumber dalaman Pas berkata tindakan pihak berkenaan nyata tidak berlandaskan kepada realiti sebenar memandangkan kereta tersebut telah didaftarkan pada 2012, semasa parti itu masih lagi menjalinkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Kata sumber itu lagi, tindakan pihak berkenaan seolah-olah cuba menutup skandal Ketua Pemuda Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Datuk Adam Rosly yang mempunyai kekayaan secara tiba-tiba, semenjak menjadi pegawai khas kepada Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin.

“Nampaknya isu dana RM90 juta sengaja ditimbulkan kembali bagi memburuk-burukan imej Pas terutama apabila kita tidak mahu menjalinkan kerjasama dengan DAP.

“Sepatutnya mereka carilah isu lain untuk serang Pas. Kalau mahu sebut tentang miliki kereta Porsche, lebih baik mereka persoalkan tentang kekayaan Adam (Rosly) yang memiliki lebih banyak kereta dan rumah mewah dalam masa beberapa tahun menjadi pegawai khas MP PKR,” kata sumber terbabit ketika dihubungi Selangor Press.

Sumber terbabit turut menafikan bahawa partinya menerima dana berjumlah RM90 juta dari Umno, sebaliknya bertegas bahawa tuduhan itu sengaja direka bagi memberi imej negatif kepada Pas di saat parti tersebut mendapat sokongan kuat orang Melayu.

“Apakah fitnah seperti ini mampu melumpuhkan Pas? Saya fikir ini semua tindakan terdesak untuk menjadikan Pas sebagai punch bag termasuk mengaitkan pembelian kereta Porsche dengan mursyidul am kami,” katanya lagi.

Sumber itu meminta agar pihak yang membuat tuduhan mengaitkan pembelian kereta tersebut dengan dana disalurkan Umno agar mengemukakan bukti kukuh dan sekadar melemparkan tuduhan palsu.

Tambah sumber terbabit, dia turut yakin bahawa isu mengenai dana itu sengaja dipanaskan kembali menjelang Himpunan Rang Undang-Undang (RUU) 355 yang akan berlangsung Sabtu ini.