Hanya 40 Peratus Melayu Masih Sokong Umno

Sokongan orang Melayu kepada Umno menurun kepada 40 peratus pada masa ini berdasarkan tiga kaji selidik dijalankan Pusat Inisiatif Dasar Invoke (I-CPI) semenjak Disember tahun lalu.

Wakilnya, Rafizi Ramli berkata kajian dilakukan itu menunjukkan penurunan 20 peratus sokongan orang Melayu terhadap Umno di seluruh negara.

Kata Rafizi, juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, kajian tersebut membuktikan bahawa sokongan pengundi Melayu masih rendah terhadap parti terbesar Melayu itu, selain percaya sokongan terhadap Umno telah berpecah.

“Sokongan pengundi Melayu kepada Umno di seluruh negara kekal rendah, pada tahap 40 peratus secara purata.

“Saya tidak ragu-ragu sekarang sokongan terhadap Umno sudah berpecah,” katanya lagi.

Tambah Rafizi, kajian tersebut juga dilakukan untuk mengenal pasti sokongan ke atas setiap parti dalam konteks pertandingan tiga penjuru dan calon perdana menteri.

“Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu, Umno berjaya memenangi 58 peratus undi Melayu apabila berdepan calon PAS dan mendapat antara 60 hingga 63 peratus undi Melayu ketika berdepan calon Keadilan (PKR)’

“Umno juga mendapat sokongan Melayu lebih tinggi iaitu 70 peratus apabila berdepan calon DAP,” katanya.