PH Sukar Tawan Putrajaya Jika Tidak Bersatu

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail percaya kesatuan parti dalam Pakatan Harapan (PH) memberi peluang lebih cerah kepada blok itu untuk menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Wan Azizah berkata kemenangan PH dalam pilihan raya umum itu penting dalam memenuhi impian rakyat membawa agenda perubahan kepada negara.

Kata beliau lagi, perpecahan dalam PH akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional di saat kepimpinannya terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak sedang mendapat sokongan rendah kalangan rakyat.

“Janganlah kita berpecah. Sekarang kalau kita buat bancian, memang Perdana Menteri mendapat rating rendah tetapi kalau berpecah, habislah,” katanya.

Beliau turut mengesa komponen PH agar bersatu dang mengingati perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim demi kepentingan rakyat di negara ini.

“Tidaklah bermaksud kita boleh menang kalau berpecah. Ingatlah pengorbanan Anwar Ibrahim demi rakyat, demi Malaysia,” tegas beliau semasa merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parlimen Permatang Pauh semalam.

Tambahnya,kemenangan PH dalam pilihan memastikan blok itu mampu mentadbir negara dan membebaskan Anwar.

“Kalau mahu Anwar dibebaskan bukan sahaja kita perlu menang di Permatang Pauh tetapi di Malaysia,” katanya.