Menarik
Tarikh Hari Ini
18 October 2017

PKR Masih Teruskan Rundingan Dengan Pas

Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan terus mengadakan rundingan dengan Pas dalam usaha memastikan pertembungan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menjadi kenyataan.

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata perbincangan antara partinya dan Pas masih berjalan sehingga kini dan menunjukkan tanda-tanda positif yang mungkin dapat mengelakkan pertanding banyak penjuru.

Bercakap kepada akhbar berbahasa Cina, Tian Chua yakin persetujuan mampu dicapai bersama antara PKR dan Pas untuk mempertahankan kerusi dalam negeri Selangor dan Kelantan.

“PKR telah mengadakan banyak rundingan dengan Pas dan telah mencapai beberapa persetujuan bersama, antaranya Pas bersetuju membantu PKR mempertahankan kuasa pemerintahan di Selangor, sementara PKR berjanji akan membantu Pas di Kelantan,” kata Tian Chua.

Kenyataan beliau itu sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Organisasi DAP, Loke Siew Fook yang mendakwa bahawa Pas menjadi punca perpecahan parti-parti pembangkang sehingga mewujudkan pertembungan banyak penjuru dalam PRU14 nanti.

Menurut Siew Fook, Pas telah memecah-belahkan gabungan parti pembangkang dan sudah tentu tidak dapat mengelak daripada menghadapi pertandingan lebih sukar dengan BN pada PRU14.